Sunday, April 25, 2010
BN kembali merampas Hulu Selangor
Tuesday, April 13, 2010
Kebebasan bersuara?
Kebebasan bersuara.
Malaysia terkenal sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi secara meluas. Sebagai sebuah negara demokrasi maka sudah semestinya kebebasan bersuara menjadi ciri utama yang menunjangi proses demokrasi itu sendiri. Malah kebebasan bersuara ini sering menjadi isu dan perbahasan berbagai pihak di negara ini.
Aktiviti berkempen semasa proses piliharaya di mana rakyat Malaysia bebas bersuara dalam memberi pendapat, pandangan malah mengkritik dasar-dasar kerajaan selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang juga merupakan fakta betapa kebebasan bersuara diizinkan di negara kita.Rakyat Malaysia juga tidak pernah disekat daripada mengeluarkan pendapat, pandangan dan kritikan sama ada melalui media-media elektronik mahu pun media-media cetak selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang di negara ini.Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Di Malaysia, hak mengenai ‘Kebebasan Hak Asasi’ (Fundamental Liberties) dengan jelasnya terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
KEBEBASAN HAK ASASI
Kebebasan Hak Asasi kepada seluruh warganegaranya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan meliputi peruntukan berikut :-
Perkara 5 : Kebebasan Diri
Perkara 6 : Kebebasan Ekonomi (hamba abdi dan buruh paksa)
Perkara 7 : Perlindungan daripada undang-undang Jenayah
Perkara 8 : Hak Kesamarataan
Perkara 9 : Hak Kebebasbn Bergerak
Perkara 10 : Kebebasan Bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan.
Perkara 11 : Kebebasan Beragama
Perkara 12 : Hak Mendapat Pendidikan
Perkara 13 : Hak Terhadap Harta
HURAIAN PERKARA 10 PERLEMBAGAAN
Diharapkan para peguam perjelaskanlah kepada rakyat bahwa KEBEBSAN BERHIMPUN DI BAWAH PERKARA 10 PERLEMBAGAAN HARUSLAH DI BACA KESELURUHANNYA DAN BUKAN DIBACA SEKERAT-SEKERAT. Disini ketara sangat peguam HINDRAF dan BERSIH memanipulasi peruntukan tersebut bagi menarik penyokong mereka hadir berdemonstrasi tanpa memperjelaskan keseluruhan kandungan PERUNTUKAN PERKARA 10 PERLEMBAGAAN.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara. Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights Fundamental Liberties).
Mengenai ‘Kebebasan Bersuara’ (freedom of speech) ianya dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran. Namun begitu, setiap sesuatu ada had dan batasannya. Demikianlah juga dengan kebebasan manusia .
Di bawah Perkara 10(2), diperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang - undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.
Inilah hakikat yang harus diterima dan difahami bahawa tiada satu pun di dunia ini yang bersifat mutlak (absolute).
Demikianlah halnya dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara kita di mana ianya mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu.
Ianya boleh diumpamakan suatu ‘kontrek sosial’ bagi menjamin kerukunan, keharmonian dan solidarity serta keselamatan dan kedaulatan negara daripada diganggu-gugat.
Undang-undang memang diperlukan dalam masyarakat yang bertamadun di mana tanpa tertegaknya undang-undang negara akan menuju anarkisme.
Pada umunnya undang-undang diperlukan dalam masyarakat/negara bagi tiga tujuan utama :1. Memberi dan mengiktiraf hak-hak individu dan masyarakat;
2. Melindungi hak-hak tersebut; dan,
3. Bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.Undang-undang jugalah yang akan menghukum seseorang yang merampas dan mengancam hak-hak individu dan kesejahteranan masyarakat.
Justeru, walaupun hak kebebasn bersuara dan kebebasan hak asasi yang lain dijamin oleh perlembagaan namun kebebasan bersuara di Malaysia berada di bawah lingkungan kawalan dan sekatan beberapa undang-undang termasuk statutes.
Di antara undang-undang yang ada kaitannya dengan kawalan terhadap kebebasan bersuara di Malaysia termasukklah:· Akta Hasutan 1948· Akta Kefitnahan 1957 (Akta 286)· Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960· Akta Rahsia Rasmi 1972· Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)· Akta Polis Lain - lain akta berkaitan (termasuk Kanun Keseksaan)
Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia , kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan/percakapan dan melahirkan buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara.
Kebebasan bersuara juga mempunyai tanggungjawab akhlak dan moral di mana ianya mestilah tidak merosakkan akhlak/moral rakyat, misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.
Menyalah gunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketengangan dalam masyarakat boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa adalah ditegah sama sekali. Kebebasan menyuarakan pendapat sama ada melalui pengucapan, penulisan dan apa-apa bentuk kaedah komunikasi mestilah berhati-hati dan bertanggungjawab.
Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.
Ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukalah “lesen” untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggunjawab di sisi undang-undang. Negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’ (rights with responsibility). Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara maka rakyat berbagai kaum dan amalan agama di negara ini mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu - isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara-perkara yang berunsur subversif, menghasut dan menfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.
Perasaan cauvinis mesti di elak dan ditentang.
Soal Keselamatan negara tidak boleh dipandang remeh semata-mata kerana ‘kebebasan bersuara’ hingga mengizinkan golongan yang bersifat cauvinis dan pelampau mengambil kesempatan meniupkan api perkauman, fitnah dan hasutan.
Rakyat patut menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ikhtibar dan pengajaran buat selama-lamanya. Elakan ‘bermain api’ dengan isu-isu sensitif seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan dan Undang-undang yang terdapat di negara kita. Ingatlah ‘kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa’. Disebabkan kebebasan bersuara yang tiada kawalan, maka negara boleh menuju ke arah kehancuran (anarkisme).
RUMUSANNYA
Majlis Peguam patut mengambil tindakan terhadap ahlinya yang melanggar undang-undang negara dan bukan bersetongkol dengan mereka. Sepatutnya mereka menjadi pengamal undang-undang negara dan bukan perlanggar undang-negara... wahai bangsaku sedarlah . JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN PEGUAM YANG TIDAK BERHATI BERSIH . SANGGUP MENGADAIKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN NEGARA DEMI MENCAPAI MAKSUD YANG TIDAK BAIK.
Oleh;
PENCINTA KEDAMAIAN.
*Sumber dari bersih.blogspot.com
Kuala Kubu Bharu
*gambar empangan pecah (Ampang Pecah)
Kalau pergi Kuala Kubu
Tulis nama atas batu
Kalau hati sedang rindu
Tulislah surat untukku
(by Allahyarham Sudirman Hj. Arshad)
*Stesen kereta api lama - Kuala Kubu Road
Pencinta Sejarah tentu sama sekali mengenali pekan ini kerana ianya amat kaya dengan tinggalan sejarah dimana kawasan ini dahulu juga dikatakan kawasan hitam tempat komunis bertapak sewaktu perang dunia kedua dan aianya diletakkan di dalam Pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan Edward Maxwell. Pada masa itu, Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang.
Kini, KKB telah pesat membangun disebalik bangunan-bangunan lama yang dibiarkan demi tinggalan sejarah untuk generasi akan datang. Antara mercu tanda KKB ketika ini adalah MRSM Kuala Kubu Bharu, Darul Quran, Institut Kemahiran Belia Negara, Empangan Pertak dan bermacam-macam lagi.
**Sedikit Cerita Sejarah Kuala Kubu Untuk tatapan kalian.
Pekan Kuala Kubu yang ditenggelami air bah pada tahun 1926
SEBUT saja nama Kuala Kubu Baru, kebanyakan kita segera terbayangkan suasana sepi pekan kecil itu yang menjadi pintu masuk utama ke pusat peranginan Bukit Fraser di Pahang.
Juga keheningan jirannya, Ampang Pecah yang terkenal dengan pusat kemahiran belia Pertak selain maktab polis, bomba dan institut tahfiz al-Quran di bawah seliaan Jakim.
Nun tidak jauh dari pekan itu, tidak ramai menyedari hutan simpan Hulu Selangor menyimpan khazanah misteri beberapa lokomotif tinggalan penjajah Inggeris akhir kurun ke-19.
“Semua penduduk di sini tahu cerita kepala kereta api itu namun tiada siapa menemuinya hingga saya sendiri menjumpai lokomotif tersebut,” kata Abdul Rahim Noor Mohamad, 41.
Anak jati pekan itu seterusnya bercerita bagaimana bermula ekspedisi beliau mencari bangkai kereta api lama tersebut yang berjaya tersembunyi di tengah-tengah hutan tebal berkenaan.
Minat mencari lokomotif itu timbul daripada cerita mulut orang tua sejak sekian lama dan maklumat daripada seorang pembalak dikenali sebagai Sallehuddin atau Aki Udang.
“Allahyarham jumpa secara kebetulan pada 1981 tetapi dia terlupa lokasi tepat namun daripada maklumatnya, saya membuat kajian kedudukan sebenar kereta api itu,” jelasnya.
Hasilnya, Abdul Rahim mendapat kisah sebenar pekan itu yang tidak diketahui sesiapa waima Jabatan Muzium Malaysia sendiri termasuk rahsia mitos buaya putih tasik Kuala Kubu.
Hakikatnya tiada seekor buaya pun di situ namun penduduk menggunakan isu reptilia sakti itu sebagai alasan untuk enggan berpindah apabila dipaksa penjajah Inggeris pada tahun 1883.
“Ini kerana mereka tahu muslihat pihak kolonial mahu bina lombong bijih timah terbesar di pekan itu dengan usir penduduk asal Melayu ke hutan bersebelahannya,” kata Abdul Rahim.
Marah dengan kedegilan penduduk, Inggeris lalu meletupkan sebuah empangan yang berusia 100 tahun waktu itu menyebabkan kawasan tersebut dikenali sebagai Ampang Pecah.
Ironi, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Sir Cecil Ranking yang cuba membuktikan mitos buaya putih sebagai dongeng turut terbunuh malah mayatnya cuma tinggal sebelah tangan saja.
“Kubur pegawai ini masih ada di halaman Rumah Rehat Kuala Kubu di Jalan Syed Mashor dan batu nisannya mencatatkan ‘Di sinilah semadi pusara tangan Sir Cecil’,” tambah beliau lagi.
Bencana ini biarpun meragut ramai nyawa penduduk, tidak mematahkan niat jahat penjajah untuk projek perlombongan itu malah terus membawa masuk ribuan buruh imigran China.
Galian berharga itu rupa-rupanya banyak terdapat di dalam hutan tebal menyebabkan Inggeris membina landasan kereta api mudah alih untuk pengangkutan bijih tanpa kos besar.
“Malangnya setelah stok bijih habis, semua peralatan lombong termasuk lokomotif dan gerabak kereta api tersadai di tengah hutan puluhan tahun lamanya,” jelas Abdul Rahim.
Bagi mencari tinggalan itu, seseorang kena berjalan kaki selama enam hari kerana ia terletak di sembilan lokasi berselerak dekat Gunung Rajah atau 1,053 meter dari aras laut.
Penemuan pertama pada 19 Oktober 1996 juga menarik minat Jabatan Muzium Malaysia untuk terlibat dalam projek arkeologi di kawasan hutan tersebut namun ia terkandas separuh jalan.
Lucunya, kejayaan Abdul Rahim dijadikan bahan berita utama akhbar Singapura pada 11 Oktober lalu tetapi memaparkan kejayaan rakyatnya menemui artifak bersejarah itu.
“Walhal dua rakyat negara jiran itu yang kononnya dilaporkan membuat 28 kali ekspedisi mencari lokomotif tersebut pun terpaksa bergantung ihsan daripada saya,” katanya kesal.
Beliau seumpama kamus bergerak sejarah Kuala Kubu kini membantu krew paranormal PSI Uncle Seekers menerbitkan dokumentari televisyen 13 siri mengenai lokomotif terbabit.
“Program Onomostik ini mendedahkan kisah sebenar saya menemui rangka tersebut berbanding propaganda akhbar jiran yang mendakwa mereka jumpa dulu kereta api itu,” tegasnya.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Pada hari ini 29.10. 1883, banjir besar telah berlaku di Sungai Selangor. Banjir itu telah menyebabkan robohnya Empangan Kuala Kubu lalu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu. Peristiwa penting ini dicatatkan dalam sejarah kerana bertolak dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang. Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. Ia dibuat dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor. Daerah Kuala Kubu sering dilanda hujan. Ini menyebabkan kerap berlaku banjir di Sungai Selangor. Sungai itu pula menjadi cetek oleh takungan tanah dan pasir yang mengalir akibat hujan dan kegiatan melombong di bahagian hulu sungai. Lama-kelamaan Sungai Selangor menjadi sebak dan apabila hujan lebat turun menyebabkan sungai banjir dan empangannya tidak dapat lagi membendung arus air yang deras serta menyebabkan empangan itu roboh. Kejadian itu telah mengorbankan nyawa dan harta benda. Seramai 33 orang termasuk Cecil Ranking, Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di daerah itu telah terkorban; 38 buah rumah hanyut dan satu-satunya mata pencarian penduduk kawasan itu iaitu mendulang bijih timah juga turut terjejas. Tragedi pecahnya Empangan Kuala Kubu itu juga dikenali sebagai 'Sejarah Kuala Kubu'. Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah itu juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874. Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, maka lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal dalam kenangan.
sumber: Hari Ini Dalam Sejarah, Arkib Negara Malaysia...
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Perbincangan mengenai pekan indah ini ada di forum
http://www.ehoza.com/v4/forum/info-sejarah/91368-sejarah-kuala-kubu.html